Wednesday, August 24, 2011

Pengeluar Sosej Thailand Dakwa Kerugian Besar



KANGAR – Sebuah syarikat pengeluar sosej Thailand mendakwa mengalami kerugian besar selepas terdapat laporan berhubung penjualan sosej pulut dan kek ayam yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi di beberapa bazar Ramadan di Perlis.

Advance Meat Fabtication Co Ltd mendakwa, syarikatnya yang beroperasi di Bangkok, Thailand kerugian kira-kira 5 juta baht (kira-kira RM500,000) dalam tempoh enam hari apabila pelanggannya di negara ini yang terdiri daripada umat Islam memulaukan keluarannya.

Pengurus syarikat itu, Phatnut Chongchaturapat berkata syarikat itu kehilangan pelanggan Islam 100 peratus di negara ini manakala kira-kira 300 pengedar juga tidak dapat menjalankan jualan.

Pada 3 Ogos lalu, sebuah akhbar melaporkan bahawa dua daripada tujuh sampel sosej dan kek ayam yang dikumpul oleh Jabatan Kesihatan Perlis disahkan mengandungi DNA babi manakala Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihati umat Islam menghentikan pembelian makanan yang diragui status halalnya.

Chongchaturapat yang berada di sini Isnin untuk bertemu Pengerusi Kelab Usahawan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Dr Amar Hassan berkata syarikatnya yang diasaskan sejak 2002 adalah pengeluar sosej dan kek ayam yang halal.

Beliau turut menunjukkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat Islam Thailand yang berkuatkuasa 14 Mac 2011 sehingga 13 Mac 2012.

Katanya pasaran produk keluaran syarikat itu tidak terjejas di Thailand namun pasaran di Malaysia merudum sama sekali sejak laporan itu disiarkan 3 Ogos lalu walaupun tidak menyebut nama pengeluarnya.

Syarikat yang mempunyai lebih 300 pekerja yang kebanyakannya beragama Islam itu mengeluarkan 14 produk makanan yang disenaraikan sebagai halal termasuk pelbagai jenis sosej dan kek ayam.

Selain itu ada lagi syarikat Thailand yang turut memasarkan produk yang sama di negara ini.

Beliau juga bersedia untuk mengemukakan segala dokuman kepada Jabatan Kesihatan Perlis atau Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi membersihkan namanya sebagai pengeluar produk berkenaan.

Sementara itu, seorang pengedar, Ani Ismail, 30, dari Dannork, Thailand berkata beliau memasarkan produk itu sejak dua tahun lalu namun sejak seminggu lalu, beliau telah kehilangan kesemua pelanggannya.

Begitu juga dengan pengedar di Pekan Siam, Ustaz Jara Khan Mohamed yang mendakwa kerugian apabila produk yang dipasarkan di Malaysia tidak lagi diterima umat Islam. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment