JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei menerima undi tertinggi daripada peminat sukan berkenaan dalam tinjauan ‘siapa yang mereka inginkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2011.’
Pemain nombor satu dunia itu mengatasi musuh ketatnya dari China, Lin Dan, sebanyak 12 peratus dalam undian secara online yang dianjur BWF di laman web rasminya www.bwfbadminton.org dan platform media sosial Twitter, Weibo dan Facebook.
Menurut BWF, Chong Wei meraih 34 peratus undi, Lin Dan (22 peratus), pasangan beregu Cai Yun/Fu Haifeng dari China (16 peratus) dan beregu dari Korea Selatan Lee Yong-dae/Jung Jae-sung (14 peratus).
“Undian peminat ini terbukti menjadi ‘dendam yang manis’ buat Lee Chong Wei yang berada di tempat keempat dalam undian itu manakala Lin Dan pula menjadi pendahulu.
“Chong Wei akhirnya menduduki tempat teratas sebagai pilihan peminat selepas mengetepikan juara dunia empat kali itu dengan 12 peratus undian,” kata BWF.
Peminat badminton di seluruh dunia diberi peluang mengundi selama 24 jam bermula 8 malam pada 4 Disember.
Keputusan undian peminat akan dikongsi bersama dengan Majlis BWF yang ketika ini mengadakan mesyuarat di Queenstown, New Zealand dan akan membuat keputusan akhir mengenai pemenangnya.
“Sungguhpun keputusan dan pencapaian pada musim 2011 menjadi faktor utama yang diberi pertimbangan, tarikan peminat dan kualiti seseorang pemain sebagai contoh ikutan semakin penting sebagai kriteria dalam menentukan pemenang anugerah Pemain Terbaik BWF,” kata BWF. Sementara itu, bagi kategori Pemain Wanita Terbaik BWF 2011, pemain beregu campuran Liliyana Natsir dari Indonesia memperoleh undi tertinggi, 78 peratus diikuti beregu China Wang Xiaoli/Yu Yang (enam peratus) dan dua pemain perseorangan dari China Wang Shixian (lima peratus) serta Wang Yihan (empat peratus).
Pemenang dua anugerah berprestij itu akan diumum pada perlawanan akhir Kejohanan Super Siri Dunia BWF Li Ning di Liuzhou, China, minggu depan.
No comments:
Post a Comment